Hubungan dengan manusia Harimau

Mangsa manusia

Lukisan kegiatan memburu harimau sambil menunggang gajah, India, awal abad ke-19.

Harimau merupakan antara haiwan buruan yang utama Asia, diburu secara besar-besaran dari abad ke-19 hingga awal abad ke-20 di kawasan India, sebagai kegiatan sukan yang digemari oleh penjajah British dan juga golongan maharaja dan bangsawan yang memerintah negeri-negeri kecil yang wujud sebelum kemerdekaan India. Kegiatan memburu harimau dilakukan oleh pemburu bersenjata yang berjalan kaki atau menunggang gajah, ataupun dengan menyediakan perangkap yang diisi umpan kambing atau kerbau.[52] Sekali-sekala, penduduk kampung memalun gendang secara berkumpulan untuk mengumpan harimau ke akhir riwayatnya. Terdapat panduan terperinci untuk menguliti harimau, di samping dibantu oleh ahli taksidermi yang berkepakaran menyediakan kulit harimau.

Pemakan manusia

Walaupun jarang memakan manusia, namun harimau telah membunuh lebih ramai orang berbanding mana-mana kucing, khususnya di kawasan-kawasan di mana pertumbuhan kependudukan manusia, kegiatan pembalakan, dan pertanian telah menjejaskan habitat harimau. Kebanyakan harimau pemakan manusia lanjut usia dan kehilangan gigi, dan beralih ke daging manusia kerana tidak mampu menawan jenis mangsa yang lebih digemari.[37] Hampir kesemua harimau yang dikenal pasti sebagai pemakan manusia ditangkap, ditembak, atau diracuni begitu sahaja. Harimau yang tegar memakan manusia sebenarnya jarang mencerobohi kawasan penempatan manusia, sebaliknya berdiam di pinggiran kampung sahaja.[37] Apapun, harimau juga boleh menyerang dalam kampung.[53] Harimau pemakan manusia menjadi satu masalah di India dan Bangladesh, khususnya di Kumaon, Garhwal dan paya bakau Sundarban di Benggala, di mana diketahuinya beberapa ekor harimau yang sihat yang memburu manusia. Berikutan kemusnahan habitat secara mendadak dan perubahan iklim, maka banyaklah lagi serangan harimau terhadap manusia di kawasan Sundarban.[54]

Perubatan tradisional Asia

Ramai penduduk negara China percaya bahawa sesetengah anggota badan harimau menyimpan sifat perubatan, seperti pengubat kesakitan dan afrodisiak.[55] Namun, tiadanya bukti saintifik yang menyokong dakwaan-dakwaan tersebut. Penggunaan anggota badan harimau dalam penghasilan perubatan farmasi di China sudahpun diharamkan, manakala pihak kerajaannya telah menetapkan kesalahan undang-undang berkenaan pemburuan harimau yang boleh dikenakan hukuman mati. Lebih-lebih lagi, segala kegiatan perdagangan anggota badan harimau adalah haram di sisi Konvensyen Perdagangan Spesies Terancam Fauna dan Flora Liar Antarabangsa sementara China telah mengharamkan perdagangan bahan-bahan sedemikian sejak tahun 1993. Sungguhpun begitu, masih terdapat sebilangan ladang harimau di negara itu yang dikhususkan menternak harimau untuk tujuan keuntungan. Dianggarkan bahawa antara 4,000 dan 5,000 ekor haiwan yang separa jinak tinggal dalam ladang-ladang sedemikian hari ini.[56][57]

Haiwan peliharaan

Persatuan Zoo dan Akuarium menganggarkan sebanyak 12,000 ekor harimau dibela sebagai haiwan peliharaan persendirian di Amerika Syarikat, iaitu jauh lebih banyak berbanding jumlah harimau liar di dunia,[58] termasuk 4,000 ekor di negeri Texas sahaja.[58]

Salah satu punca bilangan harimau begitu banyak di Amerika ialah undang-undangnya, yang mana hanya 19 buah negeri mengharamkan pemilikan harimau secara persendirian, 15 negeri sekadar mewajibkan lesen, dan 16 negeri pula langsung tiada peraturannya.[58]

Kejayaan program pembiakan di taman haiwan dan sarkas Amerika telah menyebabkan bilangan anak harimau lahir terlalu ramai pada 1980-an dan 1990-an, sekaligus menjatuhkan harga haiwan-haiwan tersebut.[58] SPCA menganggarkan kini terdapat 500 ekor singa, harimau dan kucing besar yang lain yang dimiliki persendirian di kawasan Houston sahaja.[58]

Gambaran kebudayaan

Lukisan harimau oleh Kuniyoshi Utagawa dari abad ke-19.

Harimau menduduki takhta Raja Segala Haiwan di kebanyakan budaya Asia timur,[59] melambangkan kerajaan, keberanian dan kemarahan.[60]

Sebagai salah seekor haiwan terpenting dalam mitos dan kebudayaan Cina, harimau mendapat tempat di kalangan 12 haiwan dalam zodiak Cina. Harimau digambarkan sebagai lambang duniawi menyaingi naga yang melambangkan rohani, bagai buku bertemu ruas. Sebenarnya, seni bela diri Hung Ga dari Cina Selatan adalah berasaskan pergerakan harimau dan burung jenjang. Sewaktu negara China diperintah oleh maharaja, harimau mempersonifikasi perang dan melambangkan panglima tentera tertinggi,[60] sementara maharaja dan maharani masing-masing dilambangkan oleh naga dan cenderawasih. Buruj Harimau Putih ialah salah satu daripada Empat Lambang dalam ilmu buruj Cina. Buruj tersebut adakalanya dikenali sebagai Harimau Putih Barat, kerana melambangkan arah barat dan musim luruh.[60]

Dalam agama Buddha, harimau merupakan salah satu daripada Tiga Makhluk Jahil, iaitu melambangkan kemarahan, di samping monyet sebagai lambang ketamakan dan rusa sebagai ketagihan cinta.[60]

Patung pahlawan Sala melawan harimau, lambang Empayar Hoysala di Belur, Karnataka, India.

Orang Tungus memuja harimau Siberia seolah-olah separa dewa dan sering memanggilnya "datuk" atau "orang tua". Orang-orang Udege dan Nanai memanggilnya "Amba". Orang Manchu menggelar harimau Siberia sebagai "Hu Lin", iaitu raja.[17]

Dewi Hindu Durga berupa wirawati berlengan sepuluh yang menunggang harimau (atau singa) betina yang bernama Damon ketika berperang. Di India selatan, dewa Aiyappa berlambangkan harimau.[61]

Harimau juga menjadi bahan penting dalam bidang sastera. Dalam novel The Jungle Book karya Rudyard Kipling, si harimau Shere Khan ialah musuh ketat kepada watak utama, Mowgli. Songs of Experience karya William Blake juga menggambarkan harimau sebagai makhluk yang ganas dan menggerunkan. Berlawanan dengan karya-karya tadi, harimau juga boleh dijadikan baik dan lembut seperti Tigger dalam cerita Winnie-the-Pooh oleh A. A. Milne. Dalam novel Life of Pi, watak utama Pi Patel, satu-satunya mangsa manusia yang terselamat dari nahas kapal di Lautan Hindi, bersahabat dengan seekor harimau Benggala gergasi yang pernah menaiki kapal tersebut. Komik Calvin and Hobbes dibintangi seorang kanak-kanak bernama Calvin dan anak patung harimaunya, Hobbes.

Harimau ialah haiwan kebangsaan negara-negara Bangladesh, Nepal, India[62] (Harimau Benggala)[63] Malaysia (Harimau Malaya), Korea Utara dan Korea Selatan (Harimau Siberia).

Di Malaysia, selain Jata Negara yang mempamerkan dua ekor harimau yang berdiri di kedua-dua belah perisai sebagai lambang kekuatan dan keberanian, lambang harimau juga terdapat pada logo syarikat tersohor di Malaysia seperti Maybank dan Proton.